Gejala Depresi Atau Kemurungan - Ketahui Simptom, Punca Dan Cara Merawatnya

Gejala Depresi Atau Kemurungan - Ketahui Simptom, Punca Dan Cara Merawatnya || hi there, depresi bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Ramai yang mengalami depresi namun tidak menyedari mereka sedang berada pada tahap kemurungan.

Mereka kelihatan seperti biasa, normal dan tiada apa yang berubah. Namun bagi individu itu sendiri, mereka menyedari perubahan pada diri mereka. Ada yang secara berterus terang memberitahu mereka sedang murung tetapi diabaikan sahaja oleh orang sekeliling.

Dan ada juga yang berusaha menyembunyikan masalah depresi mereka kerana risau orang sekeliling memandang serong kepada mereka seolah-olah mereka mempunyai masalah mental.

Percayalah, depresi bukanlah satu gurauan. Mari kita ambil tahu simptom, punca dan cara merawat depresi.

Gejala Depresi Atau Kemurungan - Ketahui Simptom, Punca Dan Cara Merawatnya


Apa itu penyakit Depresi (kemurungan)?


Depresi atau kemurungan adalah gangguan kesihatan mental yang disebabkan oleh sesuatu perkara yang mengakibatkan perasaan tidak tenang dan tekanan berpanjangan.

Keadaan ini boleh berlaku kepada semua lapisan manusia tidak mengira orang dewasa mahupun kanak-kanak. Namun kajian melalui laporan WHO pada tahun 2020 mendapati bahawa golongan wanita lebih mudah mengalami depresi berbanding lelaki.

Simptom Depresi


1/ Menyendiri

Seseorang yang mengalami depresi akan cenderung dengan sifat bersendirian iaitu lebih suka untuk tidak menyertai apa-apa aktiviti sosial ataupun mengelak daripada bergaul dengan orang lain walaupun sahabat ataupun keluarga terdekat.

2/ Tidak selesa

Merasakan kurang selesa dengan apa saja yang dilakukannya disebabkan fikiran tidak tenang bagaikan sedang mengalami sakit kepala ataupun merasakan tidak sihat walaupun sebenarnya tidak mengalami sebarang sakit.

3/ Badan lemah

Tidak cukup tenaga untuk melakukan apa-apa aktiviti. Keadaan ini membuatkan seseorang yang sedang mengalami depresi menjadi malas untuk melakukan sesuatu melainkan termenung dan bersendirian.


4/ Sukar berfikir dengan baik

Keadaan ini membuatkan seseorang itu hilang tumpuan ketika melakukan sesuatu sehingga memaksa dirinya untuk tidak bekerja ataupun membuat perkara yang biasa dilakukannya pada kebiasaannya.

5/ Gelisah

Perasaan gelisah sentiasa menyelubungi pesakit depresi ketika melakukan apa-apa aktiviti. Perkara ataupun masalah yang sedang dihadapinya selalu bermain difikiran menyebabkan ia kelihatan runsing dan produktiviti menurun.

6/ Perasaan sensitif

Seseorang yang sedang mengalami depresi akan mudah terasa dengan kata-kata ataupun perilaku orang-orang disekelilingnya menyebabkan dia seringkali bersifat pemarah dan tersinggung serta menampakkan dirinya kurang senang dengan sesiapa sahaja.

7/ Pencapaian menurun

Pencapaian ataupun prodaktiviti akan menurun disebabkan hilangnya keyakinan diri untuk melakukan sesuatu tugas. 

Ia akan kehilangan tumpuan dan perhatian ketika melakukan sesuatu kerana fikiran akan lebih memikirkan permasalahan yang membebankan.

8/ Perasaan sedih

Kesedihan yang berpanjangan membuatkan penampilan raut wajah yang murung serta sayu. 

Depresi menjadikan seseorang itu melayani perasaan sedih tanpa sedar ataupun tidak dan cenderung menangis, hampa dan putus asa dengan aktiviti yang dilakukannya.

9/ Tidak tenang

Dalam apa-apa situasi, pengidap depresi tidak akan tenang menghadapinya menyebabkan dia mudah panik dan mengelabah. 

Perasaan fobia terhadap sesuatu kejadian sering menghantuinya menyebabkan dia selalu cemas dalam menganangi sesuatu walaupun perkara kecil.

10/ Cenderung melakukan tindakan di luar kawalan

Apabila beban fikiran sudah tidak dapat dibendung dan kegagalan untuk memikirkan jalan penyelesaian terhadap sesuatu perkara, penghidap depresi berpotensi melakukan tindakan diluar jangka seperti mencederakan diri sendiri, memikirkan kematian dan bunuh diri.

Punca berlakunya depresi


1/ Peristiwa yang tidak dapat diterima

Sesuatu kejadian yang menimpa seseorang seperti didera oleh penjaga, perilaku seseorang yang memberi kesan mendalam kepada orang tertentu, kesan psikologi, kejadian buli, pergolakan dan masalah keluarga, dan sebagainya seringkali menjadi penyebab seseorang itu mengalami depresi.

2/ Tekanan hidup yang berpanjangan

Banyak situasi yang boleh menyebabkan tekanan hidup antaranya ialah masalah kewangan, kesan tugas atau arahan dari majikan, kekurangan ddalam keperluan hidup dan sebagainya. 

Apabila tekanan hidup ini berlaku secara berpanjangan tanpa penyelesaian ianya akan mendorong untuk mengalami depresi.

3/ Kehilangan orang tersayang

Kehilangan keluarga terdekat ataupun insan tersayang seperti ibu bapa, anak, rakan rapat atau pasangan hidup yang telah sebati dalam perjalanan hidupnya mampu mengubah seseorang kepada perubahan sikap disebabkan norma kehidupan seseorang itu telah berubah dan perubahan ini tidak serasi dalam aktiviti kehidupan harian.

4/ Ketidak seimbangan hormon

Hormon badan yang tidak seimbang disebabkan perubahan hormon ketika hamil ataupun selepas melahirkan anak. (postpartum). 

Selain itu, masalah tiroid, menopaus dan beberapa keadaan lain boleh menyebabkan hormon yang tidak seimbang yang mengakibatkan depresi.

5/ Tindakbalas otak

Sesuatu kejadian yang memberi impak mendalam dalam pemikiran secara berpanjangan akan mendorong tindakbalas otak ataupun perubahan biologis iaitu perubahan fizik didalam otak. 

Perubahan yang berlaku belum dapat dijelaskan secara terperinci namun perilaku seseorang itu lebih cenderung kepada tindakan negetif berbanding tindakan pemikiran pada kebiasaannya.

6/ Faktor keturunan

Keturunan iaitu datuk nenek, ibu bapa kandung ataupun saudara yang mempunyai pertalian darah yang boleh mewaris penyakit ini kepada keturunan mereka.

Contohnya apabila seseorang ibu itu berlaku depresi disebabkan sesuatu kejadian, anaknya berpotensi besar mempunyai sifat demikian.

7/ Kurang keupayaan diri dalam menyelesaikan sesuatu masalah

Sifat seseorang yang lemah dalam menangani apa-apa masalah dan sering bergantung kepada pemikiran orang lain akan berpotensi mengalami penyakit depresi apabila dia gagal mendapat idea ataupun jalan penyelesaian daripada orang lain.

8/ Menghidap penyakit kronik

Penyakit serius seperti kanser, strok dan sakit jantung mampu mendorong untuk mengalami depresi disebabkan keadaan kesihatan yang kurang seimbang dan dalam masa yang sama memikirkan tentang kesan penyakit yang dihadapinya.


9/ Gangguan mental

Ada kalanya sifat seseorang itu menghadapi masalah dengan satu-satu perkara. 

Contohnya apabila berlaku bunyi bising ataupun situasi yang membuat dia terkejut yang membuatkan hatinya sangat marah dan kejadian ini berlaku secara berulang-ulang dan berterusan akan mendorong dia untuk mengalami depresi.


10/ Kesan pengambilan ubatan tertentu

Sesetengah ubatan terutamanya apabila perlu dimakan secara berterusan akan memberi kesan depresi kepada seseorang. 

Pesakit kronik ataupun menghidap penyakit yang memerlukan rawatan yang berpanjangan perlu mendapatkan nasihat daripada doktor tentang ubat dan implikasinya.

Cara merawat depresi


Cara merawat depresi


1/ Dekatkan diri dengan tuhan

Ajaran keagaman adalah yang paling sempurna dirujuk untuk menangani sesuatu masalah.
 
Untuk mengatasi kemahuan ataupun kejadian yang menimpa, kita selalunya terlupa bahawa kehidupan duniawi seringkali mengejar sesuatu semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.

Manakala peristiwa sedih yang berlaku disebabkan oleh orang lain selalu menimbulkan niat melalui tindakan daripada cara pemikiran sendiri sehingga kadang-kadang tindakan tersebut menimbulkan kesan ataupun masalah lain.

Oleh itu, penyelesaian yang paling sesuai ialah dekatkan diri dengan ajaran keagamaan untuk mendapatkan petunjuk serta ketenangan dalam sebarang situasi.

Di dalam Islam, amalan mengerjakan solat, membaca Al-Quran, berzikir dan mengerjakan ibadah sunah adalah sangat dituntut dan merupakan amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

2/ Mengenalpasti masalah yang sedang dihadapi

Diri sendiri adalah jawapan kepada usaha mengubati penyakit depresi kerana orang lain hanya mampu membantu dari segi sokongan moral, nasihat dan kaedah. 

Oleh itu, penghidap depresi perlu mengenalpasti apakah punca berlakunya kejadian yang menimpa pada dirinya agar perancangan dapat dirangka dan disusuli dengan usaha melalui kaedah rawatan yang sesuai dengan masalah yang dihadapi.

3/ Berjumpa dengan doktor / kaunseling

Pihak yang lebih arif dalam menangani masalah dipresi seperti doktor dan kaunseling adalah pilihan yang tepat untuk dikunjungi kerana mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman untuk membuat rawatan penyakit depresi.

4/ Selesaikan masalah yang sedang dihadapi

Apabila anda mengetahui apakah punca sebenar kejadian yang berlaku yang menyebabkan depresi, anda perlu berusaha menyelesaikan masalah tersebut agar ianya tidak lagi menghantui dalam pemikiran harian. 

Mungkin anda perlu berjumpa seseorang yang dipercayai untuk mendapatkan buah fikiran ataupun nasihat bagaimana menyelesaikan masalah tersebut.

5/ Lakukan aktiviti yang membuatkan anda ketawa

Untuk tindakan jangkamasa pendek, anda boleh melakukan sesuatu ataupun menyertai aktiviti dalam bentuk komedi yang boleh membuat anda ketawa. 

Sebagai contoh, menonton filem lawak/komedi, menyaksikan pertunjukan silap mata dan apa-apa aktiviti menghiburkan. 

Cara ini mampu melupakan seketika perasaan depresi dan mampu mendapat sedikit ketenangan.

6/ Psikoterapi

Anda perlu menjalani rawatan psikoterapi untuk memulihkan penyakit depresi. 

Beberapa kaedah melalui rawatan psikoterapi mampu membersihkan gejala depresi seperti, 
  • Cognitive Behavior Therapy (CBT), 
  • Problem-Solving Therapy (PST), 
  • Interpersonal Therapy (IPT) dan 
  • Electroconvulsive Therapy (ECT)

7/ Mengambil ubat anti depresi

Dengan nasihat doktor ataupun pihak bertauliah yang arif tentang penyakit depresi, pesakit perlu untuk mengambil ubat penenang untuk meredakan keadaan dan menenangkan fikiran. 

Ubatan ini bertindak aktif pada otak sebagai pemancar neuro yang menghantar isyarat kepada sel-sel otak. 

Antara jenis ubatan adalah seperti tricyclic, RIMAs (Reversible Inhibitors of Monomine Oxidase Type A), SSRIs (Selective Serotonin Reuptake Inhibitors) dan SNRIs (Serotonin and Noradrenaline Reuptake Inhibitors).

8/ Mengubah cara hidup

Sekiranya sebelum ini pesakit cenderung dengan sifat lemah, mengalah, malas dan pemarah, satu tindakan perlu diambil untuk tidak lagi bersifat demikian agar mode negatif dapat diubah ke arah positif sekaligus membawa masalah yang menimpa kepada satu keadaan yang mampu meredakan permasalahan. 

Contohnya, bersifat yakin diri, proaktif dan keterbukaan merupakan idea positif yang baik untuk diterapkan dalam kehidupan harian.

9/ Buat perancangan hidup untuk jangkamasa panjang dan pendek

Untuk mengubati penyakit depresi perlu ada satu pelan perancangan yang menjadi rujukan untuk diusahakan. 

Anda perlu merangka pelan perancangan jangkamasa pendek dan panjang agar penyakit depesi dapat diubati seawal mungkin dan pada satu tahap ianya dapat dihilangkan dari dalam diri dan tidak lagi menggangu fikiran.

10/ Bersukan

Kesihatan tubuh badan merupakan nadi kepada kesihatan diri pada keseluruhannya. 

Selain menyihatkan badan, bersukan mampu melupakan seketika perasaan tidak tenang ataupun fikiran yang bercelaru yang merupakan pendorong kepada penyakit depresi. 

Antara jenis sukan yang sesuai dimulakan oleh pesakit depresi adalah seperti joging, gym, mendaki (hiking), arobik dan sebagainya.

Ada  banyak lagi simptom, punca dan cara merawat depresi. Apa yang dikongsikan di sini hanyalah sebahagian sahaja gejala depresi.

Apa-apapun, stay healthy ya.

cheers.

2 Comments

  1. kusss semangat jauhi lah dari penyakit ini. aku memang malas mau layan sgt perasaan, harus sentiasa happy2 kan

    ReplyDelete
  2. Mudah2an kita dijauhi daripada penyakit depresi ni

    ReplyDelete

Terima kasih melawat blog Mrs Pip, dan sila komen dengan berhemah. Live link tidak dibenarkan di ruang komen.