10 fakta tentang ZAKAT yang anda perlu tahu

hi there, 10 fakta tentang ZAKAT yang anda perlu tahu || asal masuk bulan Ramadhan ni, perkara yang perlu dilakukakan ialah membayar zakat ... jadi jangan buat buat lupa pula yer kengkawan yang dikasihi sekalian ...

dan nak bayar zakat ni, bukan suka suka nak bayar kat sesiapa, tapi harus kita ketahui dengan siapa yang boleh menerima bayaran zakat kita ni ...

10 fakta tentang ZAKAT yang anda perlu tahu
10 fakta tentang ZAKAT yang anda perlu tahu

so jom ambil peduli tentang ZAKAT yang anda semua bayar T_T

Zakat merupakan hak Allah yang perlu kita lunaskan terhadap mereka yang berhak menerimanya. Seorang mukmin yang beriman kepada Allah pasti akan memenuhi kehendak Allah ini bagi menjaga hubungannya dengan Allah serta hubungannya dengan manusia.

Alhamdulillah, kini ramai yang mula memberi perhatian terhadap pengeluaran zakat. Setiap tahun ada peningkatan dalam jumlah kutipan. Seiring itu jualah semakin bertambahnya golongan penerima yang berdaftar dengan pusat zakat.

Justeru ada 10 fakta yang perlu kita ambil tahu tentang zakat bagi mencerahkan lagi pemahaman kita terhadap perintah Allah yang termaktub dalam Rukun Islam ini;

#1 – Zakat Hanya Boleh Diberikan Kepada 8 Kumpulan Asnaf

Zakat hanya layak diberikan kepada 8 kumpulan asnaf yang telah disebutkan oleh Allah iaitu orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.

#2 – Tanggungjawab Dilunaskan Jika Syarat Penerima Sudah Dipenuhi

Ada sesetengah individu yang lebih gemar mengagihkan zakat mereka sendiri. Masih dibenarkan tetapi dengan syarat mestilah kepada 8 golongan yang telah disebutkan seperti di atas.


Jika tidak, tanggungjawab tersebut masih belum terlepas. Kerana itu kita sangat digalakkan untuk mengeluarkan zakat kepada pusat zakat. Tanggungjawab kita sudah dilunaskan dan menjadi tanggungjawab pusat zakat pula untuk mengagihkan zakat dengan seadilnya dan sewajarnya.

#3 – Pemberian Zakat Sebaiknya Perlu Adil Dan Istiqamah

Mengeluarkan zakat adalah satu kebaikan yang sangat disukai Allah. Bahkan, lebih cantik jika insan-insan ini dibantu dengan adil dan berterusan. Adalah sesuatu yang molek jika wang zakat kita boleh diagihkan kepada ramai asnaf secara adil dan istiqamah kerana makna zakat itu juga adalah menyuburkan dan berkembang.

Bahkan, kita juga boleh bekerjasama dengan pusat zakat dengan cara memberikan maklumat tentang individu yang memerlukan bantuan supaya mereka boleh menerima bantuan secara tetap dan berterusan. (Bagi Asnaf di negeri Selangor, anda boleh melaporkan secara online di http://www.zakatselangor.com.my/lapor-asnaf/)

#4 – Ketidakpercayaan Terhadap Pengurusan Pusat Zakat Menyebabkan Tidak Mahu Mengeluarkan Zakat

Tidak dinafikan, harta itu memang menjadi dugaan bagi kita. Macam-macam rintangan dan dugaan yang hadir tatkala kita ingin mengeluarkan zakat. Antaranya ialah ketidakpercayaan terhadap pusat zakat. Tidak adil rasanya jika kita menilai yang negatif dan buruk-buruk saja kepada Pusat Zakat.

Bahkan terlalu mudah pula menviralkan isu-isu yang belum pasti kesahihannya. Sedarkah kita tindakan ini boleh mengundang fitnah sekaligus menyebabkan orang lain turut serta tidak mahu mengeluarkan zakat dek kerana hasutan kita. 

Ringankanlah mata dengan membaca Laporan Zakat Tahunan yang boleh kita dapati di laman sesawang Pusat Zakat Negeri.

#5 – Perbezaan Ideologi Dengan Pihak Kerajaan

Percaya atau tidak, ada yang menyatakan dia tidak mahu mengeluarkan zakat kerana takut disalahgunakan oleh pihak kerajaan.

Sangkaan itu salah sama sekali. Menurut Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz:
“Pentadbiran agama Islam berada di bawah kuasa Tuanku Sultan, mengikut negeri masing-masing. Apabila kita mengeluarkan zakat, maka ia akan dikumpulkan di bawah satu badan sama ada Baitul Mal atau Badan Zakat yang mempunyai mekanisme pengagihan sendiri. Jawatankuasa Syariah atau Majlis Fatwa negeri adalah badan yang bertanggungjawab memastikan penyaluran wang zakat benar-benar menepati syariah.”

#6 – Sangat Terdesak Dan Terpaksa Meminta Bantuan Daripada Tempat Yang Tidak Sepatutnya

Mohon Allah jauhkan kita daripada melakukan perkara yang tidak diredhai oleh-Nya. Atas iniasatif pusat zakat contohnya di Selangor, telah diwujudkan 19 Kaunter Ekspres Agihan Zakat untuk meringankan beban pemohon yang memerlukan bantuan kewangan bagi keperluan asasi hidup dengan kadar segera semasa ditimpa kecemasan atau kesusahan. Masa kelulusan permohonan agihan zakat adalah antara 45 minit hingga 2 jam.

#7 – Terdapat 7 Jenis Zakat Harta

Ada 7 jenis Zakat yang terletak di bawah zakat harta iaitu zakat pendapatan, 
zakat perniagaan, 
zakat wang simpanan, 
zakat emas dan perak, 
zakat saham, 
zakat KSWP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan 
zakat takaful. 

Zakat KWSP merupakan antara zakat yang kurang diberi perhatian kerana pencarumnya tidak sedar bahawa mereka wajib mengeluarkan zakat apabila cukup syaratnya.

#8 – Simpanan KWSP Wajib Zakat Apabila Sempurna Milik

Simpanan KWSP wajib dizakatkan hanya apabila ia sudah berada dalam tangan pencarumnya/sudah boleh dimiliki tanpa halangan atau sempurna milik. Selagi mana wang itu masih berada dalam simpanan KWSP, maka tidak wajib dizakatkan kerana kurangnya satu syarat, iaitu tiada sempurna milik ke atas wang berkenaan.

#9 – 3 Jenis Pengeluaran KSWP Yang Wajib Dikenakan Zakat

1. Zakat KWSP diwajibkan bagi pengeluaran untuk keperluan tertentu seperti untuk pendidikan dan perumahan. Namun dikecualikan bagi pengeluaran yang bersifat keperluan yang amat mendesak seperti mendapatkan rawatan yang menelan kos yang sangat tinggi.

2. Wang KWSP sudah boleh dikeluarkan ketika usia 50 tahun bagi Akaun Kedua KWSP. Dalam situasi ini, zakat wajib dikenakan ke atas Akaun Keduanya kerana penyimpan mempunyai pilihan sama ada mahu mengeluarkan sebahagian atau semua simpanan di dalam akaun keduanya.

3. Ketika usia wajib bersara. Pada ketika ini, seseorang penyimpan itu boleh sama ada mengeluarkan sebahagian atau semua wang KWSPnya. Pada waktu itu sudah cukup sempurnalah segala syarat wajib zakatnya (datangnya sifat sempurna milik), sehingga wajiblah bagi penyimpan mengeluarkan zakat ke atas wang KWSP itu.

#10 – Mitos Pusat Zakat Tidak Mengagihkan Kutipan Dengan Wajar

Jika kita cakna tentang zakat, pasti kita sedar bahawa agihan zakat mengikut negeri lebih tinggi berbanding kutipan. Data agihan dan kutipan ini boleh diperolehi daripada laman sesawang Pusat Zakat Negeri.

Contohnya pada tahun 2015, Pusat Zakat Selangor telah mengagihkan sebanyak RM676 juta wang kutipan zakat kepada 44,293 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dan disantuni sepanjang tahun di samping permohonan baru.

Jumlah agihan ini sebenarnya melebihi kutipan. Kerana itu kita sangat digalakkan mengeluarkan zakat kepada pusat zakat kerana sentiasa ada pertambahan jumlah permohonan baru bagi penerimaan bantuan zakat.

Semoga 10 fakta ini boleh membuka hati kita sebagai hamba-Nya untuk melaksanakan tanggungjawab yang sudah menjadi tuntutan terhadap kita. 



Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 277:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Rujukan

1. http://blog.zakatselangor.com.my/tajuk-dilema-zakat-antara-agih-sendiri-atapun-melalui-institusi/

2. Laporan Tahunan Lembaga Zakat Selangor 2015

sekadar berkongsi ....

Sumber asal; Tazkirah Net 10 Fakta Tentang Zakat

cheers

Post a Comment

2 Comments

  1. As salam. Kaunter zakat fitrah sudah dibuka d masjid. Jd ambik kesempatan byr awal. Kebetulan cuti sek jd byk masa free.

    P.S. boleh je join GA abam kie biar pun tiada FB. ☺

    ReplyDelete
  2. Zakat menyucikan harta. Banyak kebaikan bila kita berzakat kan Mrs Pip.

    ReplyDelete

Terima kasih melawat blog Mrs Pip, dan sila komen dengan berhemah. Live link tidak dibenarkan di ruang komen.