Sering Pelupa? Ketahui Sebab Hilang Ingatan Dan Cara Mengatasinya

Masalah lupa atau hilang ingatan (amnesia) adalah satu keadaan kegagalan atau kesukaran untuk mengingat sesuatu. Ia adalah gejala gangguan memori yang berlaku pada seseorang yang menyebabkan otak individu itu gagal mengimbas sesuatu perkara atau kejadian yang pernah berlaku atau dialaminya pada satu ketika terdahulu.

Sering Pelupa? Ketahui Sebab Hilang Ingatan Dan Cara Mengatasinya

Kesan daripada masalah lupa atau hilang ingatan boleh mengakibatkan permasalahan seperti kehilangan sesuatu, kerugian, kemalangan, melambatkan pergerakkan, kegagalan dan sebagainya sehinggalah pada satu tahap melibatkan kesan keselamatan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Gejala gangguan memori berlaku kepada individu sama ada pada peringkat kanak-kanak, dewasa dan orang tua. 

Namun pada proses penuaan gejala ini lebih cenderung berlaku atas sebab-sebab seperti yang akan kita bincangkan dalam artikel ini.

Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui serba sedikit tentang permasalahan ini agar kita berusaha dan mengelak serta berkongsi pendapat sesama untuk membaiki mahupun meminima masalah lupa atau hilang ingatan.

Punca-Punca Berlakunya Masalah Lupa atau Hilang Ingatan


1/ Disebabkan oleh penyakit Ensefalitis

Ia merupakan penyakit yang berlaku peradangan pada jaringan otak yang disebabkan oleh infeksi. Peradangan yang berlaku akan merosakkan memori otak dan menyebabkan sesuatu perkara hilang dalam ingatan.

2/ Penyakit Dementia

Ia merupakan penyakit pada otak progresif yang berlaku disebabkan oleh kematian sel-sel otak secara abnormal. 

sebab dementia


Bagi individu yang mengalami dementia ia sukar melakukan aktiviti harian hinggalah pada satu tahap ianya tidak dapat mengawal emosi. 

Individu yang diserang penyakit ini tidak dapat mengingat untuk melakukan pergerakan yang sepatutnya serta kawalan pertimbangan. 

Terdapat banyak penyebab berlakunya penyakit ini, antaranya kerana penyakit saluran darah, kesan dadah atau alkohol, kesan penyakit alzheimer dan sebagainya.

3/ Disebabkan oleh proses penuaan

Proses penuaan menyebabkan penurunan fungsi pada semua bahagian badan termasuk otak (penyakit Alzheimer). 

Oleh itu, keupayaan untuk mengingat sesuatu perkara atau peristiwa agak terbatas pada satu-satu masa. 

Lazimnya masalah ingatan kepada warga emas dapat diatasinya sendiri melalui kesedaran diri dan merancang sesuatu kaedah untuk mengatasinya. 

4/ Pengaruh mental 

Mental adalah kawalan otak ke seluruh anggota badan. 

Sekiranya berlaku masalah kesihatan mental sudah pasti ianya menyebabkan proses otak yang tidak efektif yang mempengaruhi tahap ingatan, pertimbangan, kawalan dan pemikiran seseorang.

5/ Kesan ubat-ubatan dan alkohol

Pengambilan ubat-ubatan dan alkohol akan memberi kesan kepada daya ingatan seseorang. 

Terdapat beberapa jenis ubat yang mungkin memberi kesan sampingan terhadap daya ingatan seseorang contohnya, antidepresen, antihistamin, pelega otot, ubat tidur dan ubat tahan sakit yang diberikan selepas pembedahan. 

Pengambilan dadah, alkohol dan rokok juga memberi kesan kepada daya ingatan seseorang.

6/ Kesan cara hidup

Cara hidup sangat memberi kesan kepada keupayaan otak berfungsi. 

Cara hidup sihat sudah pasti menjamin kecerdasan otak yang mendorong kepada fungsi otak yang efektif. 

Cara hidup yang tidak seimbang akan memberi kesan penurunan fungsi otak yang mendorong kepada masalah lupa atau hilang ingatan. 

Antara faktor yang menyebabkan gangguan memori daripada masalah cara hidup adalah kurang tidur, kualiti tidur yang rendah, keletihan yang berterusan, kemurungan, tekanan trauma dan lain-lain.

7/ Disebabkan oleh anoksia otak

Anoksia otak terjadi apabila berlaku kekurangan oksigen pada otak yang menyebabkan gangguan pada fungsi otak. 

Ia berlaku disebabkan oleh pengaruh gangguan pernafasan ataupun tersedut keracunan karbon monoksida. 

Selain itu, masalah kesihatan jantung dan pembuluh darah juga adalah faktor yang menyebabkan penurunan pembekalan oksigen ke otak.

8/ Disebabkan oleh strok

Apabila berlaku strok, pembuluh darah otak akan mengalami sumbat atau pecah yang menyebabkan aliran darah ke otak akan terhenti. 

Keadaan ini mendorong kepada penurunan fungsi otak ketika mengimbas kembali memori.

Cara Mengatasi Masalah Lupa Atau Hilang Ingatan


Cara mengatasi masalah lupa atau hilang ingatan ialah dengan mengenalpasti permasalahan diri yang memberi kesan penurunan prestasi fungsi otak dan membuat pencegahan awal yang berterusan. 

Antara langkah-langkah yang boleh diambil untuk tujuan tersebut adalah:-

1/ Melatih otak dengan perlaksanaan amali secara berterusan

Merancang dan mempraktis untuk membuat sebarang formula pengiraan secara manual (tanpa penggunaan kalkulator), membaca buku dan menulis setiap hari. 

Tiada ketetapan kuantiti atau masa yang diperlukan untuk aktiviti ini, cukup sekadar ianya dipraktis setiap hari.

2/ Melakukan aktiviti fizikal secara berkala

Aktiviti fizikal seperti senaman, bersukan, pertukangan, perkebunan, menari serta apa-apa aktiviti sosial akan mendorong meningkatkan pengaliran darah ke seluruh badan. 

Kelancaran pengaliran darah pada otak mampu membentuk tindakbalas otak yang aktif serta membekal oksigen yang mencukupi. 

Sekiranya situasi ini dapat dikekalkan secara berterusan atau berkala, otak akan selalu aktif, berfungsi dengan efektif dan mampu mengekalkan memori yang baik.

3/ Pemilihan jenis makanan

Sebab Hilang Ingatan Dan Cara Mengatasinya


Terdapat banyak makanan yang baik untuk menjaga kesihatan otak antaranya ialah ikan (kaya dengan asid lemak omega-3), telur (mengandungi kolin, vitamin B7, B12 dan asid folik), kacang (mempunyai asid lemak omega-3 dan alpha linoleic) dan coklat (mengandungi antioksidan dan flavonoids).

4/ Penjagaan kesihatan dan tidur yang cukup

Kesihatan yang baik dapat mengekalkan kecerdasan otak serta mengurangi risiko berlaku dementia.

Tidur yang cukup dan berkualiti diperlukan otak untuk berehat yang mana ianya memerlukan minima selama 6 jam setiap hari.

5/ Mengelak pengambilan ubat-ubatan yang berisiko dan alkohol

Pengambilan ubat yang berisiko mengganggu daya ingatan perlulah mendapat nasihat daripada doktor. 

Manakala kesan alkohol yang mampu menghilangkan ingatan ketika mabuk harus dielakkan.

6/ Ikut nasihat yang pakar untuk mengoptimakan kesihatan

Sebagai contoh, para individu yang mengalami strok perlulah membuat terapi dengan latihan dan kaedah yang disyorkan oleh pihak yang pakar.

7/ Pengambilan vitamin

Vitamin adalah faktor penting dalam mengekalkan peranan otak yang efektif. 


Terdapat banyak vitamin yang diperlukan untuk tujuan ini dan setiap satunya mempunyai peranan tersendiri untuk membentuk satu gabungan komplek iaitu vitamin B1 (thiamine), B2 (riboflavin), B3 (asid nikotinik), B5 (asid pantothenic), B6 (pyridoxine), B9 (asid folic), B12 (cyanocobalamin), C (asid askorbik), D (calciferol), K (phylloquinone & menaquinone) dan E (tocopherol).

Anda ada sebarang cadangan lain cara mengatasi hilang ingatan? Jom kongsi di petak komen.

Semoga bermanfaat.

cheers.

إرسال تعليق

0 تعليقات